Khamis, Jun 13, 2019

Tersukut Tepi Tiang


Tersukut Tepi Tiang
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Kusimpan kenangan, bersama malam kecundang,
patah sayapnya kehampaan....

Patahnya Sayap Malam dari kumpulan Masa Scarecrow adalah lagu kegemaran saya sejak zaman kanak-kanak lagi. Sekolah rendah tahun 4 seingat saya. Zaman dengar radio transistor. Lagu Rock Kapak ciptaan Awang BPR itu memang berhantu. Tak habis feeling dengan lirik dan vokalnya sampaikan bunyi gitar bassnya juga membuat saya terbuai-buai penuh perasaan.

Imbas kembali lagu-lagu lama, saya percaya ia dimainkan sepenuh 'hati dan rasa' oleh semua mereka yang terlibat. Bassist pun bermain sepenuh hati bukan sekadar mencukup syarat untuk sebuah lagu ada bunyi bass semata-mata.

Itu dalam sebuah band rock untuk sebuah lagu. Apatah lagi dalam sebuah pasukan kerja atau bisnes. Semua orang dalam pasukan perlu memainkan peranan mereka dari hati yang penuh minat dan jiwa yang sarat rasa. Kefahaman saya, untuk sesuatu yang melibatkan pasukan atau kumpulan, jika semua orang dalam pasukan memainkan peranannya dengan sepenuh rasa hasilnya insya Allah luar biasa dan tahan lama.

Bagi sebuah lagu contohnya, tak jalan kalau vokalis menyanyi sepenuh hati tapi bassist tersukut tepi tiang dan petik tali bass hanya dengan jari tanpa hati yang ada minat dan jiwa tanpa rasa. Jika itu yang berlaku, baik vokalis itu menyanyi dengan instrumen kibod yang boleh menghasilkan bunyi bass sendiri.

Tersukut Tepi Tiang


"Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak
kepada pasangan taat dan setia;
tiadalah cinta tanpa taat dan setia"

Dalam Siri Post 3T kali ini saya memilih tajuk 'Tersukut Tepi Tiang' yang diinspirasi dari frasa dielek Sarawak 'tersukut' yang bermaksud 'terperuk' atau 'memencilkan diri' dan boleh juga dimaksudkan untuk 'dipulaukan' atau 'diketepikan'

Malam Jumaat yang penuh berkat ini, saya muhasabah diri. Ketika ditimpa musibah setahun yang lalu, saya mengambil peluang untuk melihat dalam-dalam ke dalam diri sendiri. Saya bertanya 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya daripada semua itu. 

Dalam keadaan diri yang sedih, saya melawan sakit lukanya hati dan jiwa. Saya tidak boleh lemah. Persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' saya fikirkan sepanjang masa.

Persoalan itu membawa saya memohon kepada Allah untuk meletakkan saya pada tempat yang betul. Persoalan itu membawa saya berfikir mahu membina diri untuk posisi terbaik yang sebenarnya Tuhan mahu untuk saya. Persoalan itu membawa saya merenung diri tentang peranan terbaik yang boleh saya tunaikan pada hari-hari mendatang. 

Jawapan untuk persoalan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan tidak terjawab sehari dua. Setahun yang lalu, saya bermula dengan keyakinan bahawa saya perlu melakukan yang terbaik dan menjawab dengan betul persoalan 'Tuhan Mahu Apa?'.

Meja Makan Sebagai Saksi Bisu


(Meja makan di rumah sewa saya. Gambar ini diambil dari tiang yang saya tuliskan
dalam post ini. Gambar ketika saya baru selesai membersihkan ruang
masak dan makan rumah sewa saya semasa cuti hari raya yang lalu) 

Tiang yang kaku pada sebuah rumah adalah komponen yang menjadikan sebuah rumah terpacak kukuh. Jam yang tergantung pada tiang itu pula bukan sekadar buat mencantikkan ruang tamu, ia juga menunjukkan masa dan waktu. Ditambah pula meja yang diletak di tepi tiang menjadi tempat letaknya mushaf al-Quran, pasu bunga, buku dan lain sebagainya.

Realiti saya sendiri, meja makan di rumah yang saya sewa ini terletak di tepi 'tiang seri' rumah. Saya anggap ia tiang seri kerana ia terpacak di tengah-tengah dalam rumah sewa saya ini. Meja makan tepi tiang dalam rumah sewa saya ini sarat memori dan makna kepada saya.

Di meja makan itulah bukan sahaja tempat saya makan dan minum. Di meja makan itulah saya membaca al-Quran, termenung, menconteng kertas membuat perancangan masa depan, menaip, menulis dan menonton video ceramah di Youtube.

Meja makan itu juga adalah saksi ketika saya berbual dengan ibu ayah dan adik beradik. Meja makan itulah juga tempat saya membuka dan membaca 'dokumen mahkamah syariah' yang dikirim kepada saya. Di meja makan itulah pada suatu malam, saya beritahu adik-adik keputusan saya untuk tidak melawan kerana saya memilih untuk menikmati masa depan dengan ibu ayah dan adik-adik.

Meja makan itulah saksi bisu ketika saya berjanji dengan adik-adik saya mahu membina hidup di Bintulu. Setahun yang lalu, meja makan itulah saksi bisu tekad saya untuk reda apa yang berlaku. Walaupun dalam keadaan tidak tahu pada hari mendatang apa yang menunggu tapi saya yakin penuh masa depan lebih baik ada dalam rahsia takdir Allah.

Di meja makan itulah juga saya menerima panggilan telefon yang membawa saya memasuki industri umrah. Dengan Bismillah, saya memulakan karier sebagai perunding umrah dengan keyakinan bahawa itulah tempat terbaik yang Tuhan mahu saya berada di dalamnya.
Tuhan Mahu Apa?

Insya Allah, dalam post-post mendatang di Blog UstazCahaya ini saya akan menulis tentang bagaimana saya 'move on' dan bangkit kembali selepas luka parah ditimpa musibah penghujung Ramadan 1439/ 2019.

Bagaimana saya membina hidup baru, mengulang kembali karier lama sebagai penulis dan perunding takaful dan memulakan karier baharu sebagai perunding umrah.

Bagaimana saya survival menyewa rumah, meminjam motorsikal adik ipar dan bergerak dengan menumpang adik-adik atau grab ketika bermula dari kosong setahun yang lalu sebelum pada Februari 2019 saya mendapat sebuah kereta baharu (Alhamdulillah).


Semuanya saya lalui dengan setiap hari 'menjawab' persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya.

Untuk malam ini, saya perlukan bantuan saudara yang membaca post ini. Jika saudara tidak mendapat manfaat daripada post ini, mungkin ada orang lain yang boleh mendapat manfaat post ini. Bantulah saya sebarkan Siri Post 3T dalam Blog UstazCahaya ini kepada orang lain. 

... Kerana setahun yang lalu, saya pernah berjanji kepada Tuhan untuk menulis post bermanfaat di Blog UstazCahaya ini selama hayat dikandung badan. 

Mohon, bantulah saya menulis post bermanfaat dan menyebarkannya kepada orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya. 

Semoga Allah mengasihi kita semua. Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin. 

Baca #siripost3T pertama di https://www.ustazcahaya.com/2019/06/terkenang-tiap-tahun.html

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya







Tiada ulasan:

Catat Ulasan