Isnin, Disember 31, 2018

Untuk Apa Setahun Lagi?


Untuk Apa Setahun Lagi?
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Merancang tahun 2019 di hadapan Kaabah)

Dari sekalian banyak hamba Allah yang dijemput ajal sepanjang tahun 2018; saya dan saudara yang membaca post ini, mendapat peluang untuk sekali lagi hidup sehingga tahun Masehi bertukar angka. Bagaimanapun, esok lusa belum tentu lagi. Siapakah antara kita dapat menjamin masih hidup lagi sehingga 2019 bertukar ke 2020 setahun lagi. Dalam tempoh setahun dengan 365, setiap hari-hari kita adalah antara hidup dan mati. 

Mengingat kematian, memandang diri dan wajah-wajah kesayangan; saya merasakan bahawa dapat hidup sehari lagi sebagai satu nikmat yang besar sekali maknanya. Betapa jika ditanyakan saya, 'apakah saya sudah bersedia untuk mati?'; jujur sekali, jawapan saya ialah 'belum sedia untuk mati'.

Melihat sudut cerah dan indah kehidupan. Hidup di bahagian bumi yang aman. Hidup dengan tidak menghadapi susah payah untuk minum, makan, bergerak dan berkomunikasi. Hidup dalam keadaan yang mudah untuk melakukan ibadat yang wajib mahupun sunat.

Memandang juga sudut suram dan muram dalam kehidupan. Kewajipan yang belum sepenuhnya dilaksanakan. Impian dan cita-cita yang belum kesampaian. Hutang piutang yang perlu dilunaskan. Janji-janji yang belum ditunaikan; dan lain sebagainya.

Kedua-dua belah sudut kehidupan itu, yang jika kita fikirkan akan menginsafkan kita bahawa betapa besarnya nilai hidup setahun lagi di bumi ini. Justeru kerana besar nilainya itu, kita perlu selalu mengingatkan diri sendiri agar berfikir tentang 'untuk apa setahun lagi dalam kehidupan ini...?'

(Pemandangan dari bilik kediaman saya bersama rakan petugas.
Tingkat 15, Hotel Pullman Zam-zam, Menara Jam, Mekah)

Setiap hari yang kita mulakan, akan kita tinggalkan. Setiap hari yang kita tinggalkan, kita semakin menghampiri apa yang dinamakan kematian. Sesungguhnya, menyedari hakikat itu sewajarnya kita memikirkan untuk apa hidup yang satu hari lagi yang kita miliki ini. Tidaklah hidup ini untuk dibiarkan berlalu begitu saja. Tidaklah hidup ini untuk kita tenggelam dalam kesibukan yang meletihkan, tetapi pada saat kembali kepada Tuhan nanti, kita dapati bahawa kesibukan dan keletihan itu hanya kosong.

Lalu, saya mencari jawapannya dalam agama. Saya mencari jawapannya dengan Allah dan Rasul-Nya. Rezeki menjadi petugas umrah lalu berkesempatan menikmati penghujung tahun 2018 di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya gunakan untuk muhasabah diri. Saya ambil kesempatan merancang tahun 2019 di hadapan Kaabah. Saya berdoa di tempat-tempat mustajab doa yang dijanjikan oleh Rasulullah saw. 

Sekurang-kurangnya, untuk diri saya sendiri, saya mendapat jawapan bahawa hidup yang satu tahun lagi pada tahun 2019 adalah untuk:

1. Menunaikan Solat Fardu Yang LIMA

2. Mengusahakan LIMA Tujuan Hidup Manusia

3. Mensyukuri LIMA Perkara

4. Hidup dengan selalu bertanya 'Tuhan Mahu Apa?'

5. Menunaikan hak dan mengembalikan hutang kepada diri sendiri dan orang lain yang berhak.

Dengan selalu mengharapkan hidayah dan pertolongan Allah, saya memohon doa agar segala perancangan untuk tahun 2019 dapat dilaksanakan dengan baik. Semoga saya konsisten dan selalu bertambah baik dalam menjalani hari demi hari yang bakal mendatang pada tahun 2019.

Allahumma shalli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad. Amin Ya Rabb al-Alamin.




Rezeki menjadi petugas umrah lalu berkesempatan menikmati penghujung tahun 2018 di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya gunakan untuk muhasabah diri. Saya ambil kesempatan merancang tahun 2019 di hadapan Kaabah. Saya berdoa di tempat-tempat mustajab doa yang dijanjikan oleh Rasulullah saw. 


Tidaklah hidup ini untuk dibiarkan berlalu begitu saja. Tidaklah hidup ini untuk kita tenggelam dalam kesibukan yang meletihkan, tetapi pada saat kembali kepada Tuhan nanti, kita dapati bahawa kesibukan dan keletihan itu hanya kosong.


Sekurang-kurangnya, untuk diri saya sendiri, saya mendapat jawapan bahawa hidup yang satu tahun lagi pada tahun 2019 adalah untuk:

1. Menunaikan Solat Fardu Yang LIMA

2. Mengusahakan LIMA Tujuan Hidup Manusia

3. Mensyukuri LIMA Perkara

4. Hidup dengan selalu bertanya 'Tuhan Mahu Apa?'

5. Menunaikan hak dan mengembalikan hutang kepada diri sendiri dan orang lain yang berhak.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan