Sabtu, November 17, 2018

Satu Hari Dalam Kehidupan Saya Pada Bulan November 2018


Satu Hari Dalam Kehidupan Saya
Pada Bulan November 2018

(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Ayat-ayat akhir surah Az-Zariyat.Ada empat ayat dalam gambar ini
yang saya selalu baca dalam solat sunat. Juga, ada satu ayat dalam gambar ini
yang saya akan baca berulang kali secara berterusan
jika menghadapi kesusahan atau halangan - selalu mujarab Insya Allah.


Saya mula menaip post ini di telefon pintar ketika jam padanya menunjukkan pukul 14:49. Menaip dalam keadaan berbaring di atas katil dalam bilik. Di luar mendung yang ditemani gerimis sekejap-sekejap. Jika hujan pada petang Sabtu begini tentu lebih santai dan nyaman, kan. (Saya copy dan paste ke blog ini menggunakan laptop bermula jam 21:32 malam ini. Tetap menggunakan laptop adalah cara saya untuk update blog ini).

Penulisan ini saya simpan dalam fikiran sejak hari Isnin yang lalu. Dalam post ini saya ingin menceritakan tentang kehidupan saya kini sebagai seorang Perunding Umrah, Wasiat dan Takaful yang baru bermula dan sebagai seorang Ghostwriter (penulis upahan) sejak tahun 2009. Juga, masih kekal mahu bertahan sebagai penjual buku. 

Hari Isnin yang baru berlalu iaitu 12 November 2018 rasanya cukup untuk menggambarkan kehidupan saya sebagai seorang Perunding Umrah, Wasiat dan Takaful. Dalam masa yang sama masih menjadi penulis upahan. 


Isnin Yang Meriah

Bermula lepas solat dhuha pagi itu berterusan menerima tetamu di pejabat PDC Travels Borneo. Bermula dengan kedatangan Mr Lawrence (Prudential Bintulu) yang bertanya khabar dan persediaan untuk exam PCE 24 November nanti.

Disambung kehadiran bakal jemaah umrah 7-17 Januari 2019 (5 orang + 1 jemaah kanak-kanak). Encik Jainal dan Awang Talib datang membuat bayaran penuh dan membeli keperluan umrah. Kemudian petangnya datang Kak Atikah Basri (juga bakal umrah jemaah 7-17 Januari 2019) menghantar gambar visa ibu beliau.

Inilah antara tugas saya sebagai Perunding Umrah. Bersama PDC Borneo, saya menguruskan perjalanan ibadah umrah jemaah dari Borneo. Makanya awal mula menjadi keluarga PDC Borneo tempoh hari, saya cadangkan satu branding bernama 'Borneo Umrah'.


Penulis Upahan Dengan Upah Bulanan

Masih tentang hari Isnin itu. Sejak pagi saya bermesej via Whatsapp dengan seorang client terbaharu. Beliau dan isteri  mengupah saya untuk menjadi penulis tetap bagi mereka dengan bayaran upah bulanan. Kita namakan dalam post ini mereka sebagai Tuan R dan Puan S. 

Setibanya di rumah pada petang itu sekembali dari pejabat PDC Borneo, belum sempat membancuh minuman Nescafe, saya menerima penggilan daripada Tuan R. Saya sambut panggilan beliau dan kami berbual. 

Alhamdulillah. Senang berbual dengan beliau dan saya gembira dengan apa yang ditawarkan oleh beliau dan isteri kepada saya. Tamat panggilan, saya menerima mesej Whatsapp pula dari Tuan R mengatakan bahawa upah saya ditambah 20% lagi daripada apa yang kami putuskan dalam perbualan telefon tadi.

Malamnya saya beranikan diri menulis tentang pendirian saya berkenaan isu niqab. Ketika isu itu panas saya memilih untuk diam. Malam Isnin yang lalu, saya mengambil keputusan untuk menzahirkan sokongan saya kepada para niqabis (berpurdah).

Saya sedar dunia tidak memerlukan pendapat saya. Juga para niqabis pun tidak memerlukan sokongan saya. Namun, saya memilih untuk menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan berpurdah membuatkan Islam kelihatan berat dan susah.




Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
dan Nidji 
(Comelnya Saya Waktu Kecil DulušŸ¤­) 

Pernah saya terfikir, bagaimana agaknya penerimaan Buya Hamka terhadap karya Nidji untuk filem yang diangkat dari novel beliau?

Saya dilahirkan di Hospital Bintulu pada 16 Ogos 1980. Selepas dilahirkan saya dibawa ke sebuah rumah di Kampung Dagang, Bintulu. Rumah ayah kepada ibu saya iaitu datuk saya.

Buya Hamka - ulamak Nusantara yang legendaris itu pernah berziarah ke Kampung Dagang 2 tahun sebelum ibu saya dilahirkan. Ibu lahir pada 1 Disember 1962 di Kampung Dagang itulah juga.

Setelah besar saya mengenali Buya Hamka dan membaca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Menonton filem adaptasi novel tersebut dan meminati soundtrack filem tersebut karya band Indon yang besar - Nidji yang digelar orang sebagai 'King of Sountrack'.



Dua buah OST Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dari Nidji iaitu 'Teroesir (Menunggu Karma)' dan 'Sumpah Mati' adalah kegemaran saya. Dua buah lagu yang pernah jadi lagu tema pada beberapa fasa hidup saya yang lalu.


Teroesir (Menunggu Karma)
*Aku yang teroesir
jauh dari kamu
Jauh dari kamu
Cinta dan harapan
Dibunuh dan mati

Sumpah dan Cinta Matiku
*Cinta kan selalu abadi
Walau takdir tak pasti
Kau selalu di hati cinta matiku
Seraya aku berdoa merayakan cinta
Kau selalu ku jaga


Sumpah mati sumpah (sumpah)
Sumpah mati (sumpah mati)
Sumpah mati aku hanya untukmu

Kata-kata yang indah itu tidak mesti lahir daripada orang yang sedang bahagia. Kadang orang yang berduka merawat dirinya dengan menulis dan mengucapkan kata-kata yang indah. Bilang orang - terapi menulis.

Alhamdulillah. Jumaat hari kesukaan dan selalunya hari yang baik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan