Ahad, November 04, 2018

Hati Terbang Lagi


Hati Terbang Lagi
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Terbang dengan sayap yang cedera parah bertitisan darah bersama titisan air mata duka. Kau terpaksa kekal terbang tinggi pada tahap yang tidak kesampaian anak-anak panah musuh yang memanah dengan konsisten dari bawah. Seinci kau merendah boleh membawa padah.

Terus bertahan terbang tinggi dengan gayat, takut dan trauma hingga sampai ke tahap yang selamat; kau terbang merendah. Cecah kaki di tanah lalu rebah, termengah-mengah, menengadah dalam lelah. Baring rebah bersama pedih luka yang parah. Titis-titis hujan pula mula turun mencurah-curah menitis ke atas luka-luka yang parah... pedih tak terluah!

Dengan sisa tenaga dan senipis kulit bawang asa yang masih ada. Entah kau mengumam atau berbisik dengan suara yang hampir tiada. Lagu puisi yang kau gubah pada waktu terbang tinggi dengan sayap yang luka parah, kau nyanyikan dengan sumbang suara dan iramanya.


Lagu Puisi: Hati Terbang Lagi

Malam gelap diri tatap lagi lagi,
mahu susun bintang tulis mimpi.
Malam gelap diri tatap bulan lagi,
mahu gumpal awan lukis mimpi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Awan lukis lagi mimpi malam tadi,
pagi sinar suria padam semua.
Bintang tulis lagi mimpi malam tadi,
datang siang hari hilang pergi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Pipi ukir lagi wajah senyum ini,
getar debar rasa pendam semua.
Haiku tulis lagi simpul rasa hati,
lagu nyanyi diri dendang luah rasa.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Hati terbang lagi bawa sarat isi,
terbang tinggi-tinggi jatuh lonjak lagi.
Terbang tinggi lagi kaki jejak bumi,
dahi sujud lagi sembah agung Ilahi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

(C) Norudin Draman UstazCahaya, April 2013.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan