Sabtu, 17 November 2018

Satu Hari Dalam Kehidupan Saya Pada Bulan November 2018


Satu Hari Dalam Kehidupan Saya
Pada Bulan November 2018

(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Ayat-ayat akhir surah Az-Zariyat.Ada empat ayat dalam gambar ini
yang saya selalu baca dalam solat sunat. Juga, ada satu ayat dalam gambar ini
yang saya akan baca berulang kali secara berterusan
jika menghadapi kesusahan atau halangan - selalu mujarab Insya Allah.


Saya mula menaip post ini di telefon pintar ketika jam padanya menunjukkan pukul 14:49. Menaip dalam keadaan berbaring di atas katil dalam bilik. Di luar mendung yang ditemani gerimis sekejap-sekejap. Jika hujan pada petang Sabtu begini tentu lebih santai dan nyaman, kan. (Saya copy dan paste ke blog ini menggunakan laptop bermula jam 21:32 malam ini. Tetap menggunakan laptop adalah cara saya untuk update blog ini).

Penulisan ini saya simpan dalam fikiran sejak hari Isnin yang lalu. Dalam post ini saya ingin menceritakan tentang kehidupan saya kini sebagai seorang Perunding Umrah, Wasiat dan Takaful yang baru bermula dan sebagai seorang Ghostwriter (penulis upahan) sejak tahun 2009. Juga, masih kekal mahu bertahan sebagai penjual buku. 

Hari Isnin yang baru berlalu iaitu 12 November 2018 rasanya cukup untuk menggambarkan kehidupan saya sebagai seorang Perunding Umrah, Wasiat dan Takaful. Dalam masa yang sama masih menjadi penulis upahan. 


Isnin Yang Meriah

Bermula lepas solat dhuha pagi itu berterusan menerima tetamu di pejabat PDC Travels Borneo. Bermula dengan kedatangan Mr Lawrence (Prudential Bintulu) yang bertanya khabar dan persediaan untuk exam PCE 24 November nanti.

Disambung kehadiran bakal jemaah umrah 7-17 Januari 2019 (5 orang + 1 jemaah kanak-kanak). Encik Jainal dan Awang Talib datang membuat bayaran penuh dan membeli keperluan umrah. Kemudian petangnya datang Kak Atikah Basri (juga bakal umrah jemaah 7-17 Januari 2019) menghantar gambar visa ibu beliau.

Inilah antara tugas saya sebagai Perunding Umrah. Bersama PDC Borneo, saya menguruskan perjalanan ibadah umrah jemaah dari Borneo. Makanya awal mula menjadi keluarga PDC Borneo tempoh hari, saya cadangkan satu branding bernama 'Borneo Umrah'.


Penulis Upahan Dengan Upah Bulanan

Masih tentang hari Isnin itu. Sejak pagi saya bermesej via Whatsapp dengan seorang client terbaharu. Beliau dan isteri  mengupah saya untuk menjadi penulis tetap bagi mereka dengan bayaran upah bulanan. Kita namakan dalam post ini mereka sebagai Tuan R dan Puan S. 

Setibanya di rumah pada petang itu sekembali dari pejabat PDC Borneo, belum sempat membancuh minuman Nescafe, saya menerima penggilan daripada Tuan R. Saya sambut panggilan beliau dan kami berbual. 

Alhamdulillah. Senang berbual dengan beliau dan saya gembira dengan apa yang ditawarkan oleh beliau dan isteri kepada saya. Tamat panggilan, saya menerima mesej Whatsapp pula dari Tuan R mengatakan bahawa upah saya ditambah 20% lagi daripada apa yang kami putuskan dalam perbualan telefon tadi.

Malamnya saya beranikan diri menulis tentang pendirian saya berkenaan isu niqab. Ketika isu itu panas saya memilih untuk diam. Malam Isnin yang lalu, saya mengambil keputusan untuk menzahirkan sokongan saya kepada para niqabis (berpurdah).

Saya sedar dunia tidak memerlukan pendapat saya. Juga para niqabis pun tidak memerlukan sokongan saya. Namun, saya memilih untuk menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan berpurdah membuatkan Islam kelihatan berat dan susah.




Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
dan Nidji 
(Comelnya Saya Waktu Kecil DulušŸ¤­) 

Pernah saya terfikir, bagaimana agaknya penerimaan Buya Hamka terhadap karya Nidji untuk filem yang diangkat dari novel beliau?

Saya dilahirkan di Hospital Bintulu pada 16 Ogos 1980. Selepas dilahirkan saya dibawa ke sebuah rumah di Kampung Dagang, Bintulu. Rumah ayah kepada ibu saya iaitu datuk saya.

Buya Hamka - ulamak Nusantara yang legendaris itu pernah berziarah ke Kampung Dagang 2 tahun sebelum ibu saya dilahirkan. Ibu lahir pada 1 Disember 1962 di Kampung Dagang itulah juga.

Setelah besar saya mengenali Buya Hamka dan membaca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Menonton filem adaptasi novel tersebut dan meminati soundtrack filem tersebut karya band Indon yang besar - Nidji yang digelar orang sebagai 'King of Sountrack'.



Dua buah OST Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dari Nidji iaitu 'Teroesir (Menunggu Karma)' dan 'Sumpah Mati' adalah kegemaran saya. Dua buah lagu yang pernah jadi lagu tema pada beberapa fasa hidup saya yang lalu.


Teroesir (Menunggu Karma)
*Aku yang teroesir
jauh dari kamu
Jauh dari kamu
Cinta dan harapan
Dibunuh dan mati

Sumpah dan Cinta Matiku
*Cinta kan selalu abadi
Walau takdir tak pasti
Kau selalu di hati cinta matiku
Seraya aku berdoa merayakan cinta
Kau selalu ku jaga


Sumpah mati sumpah (sumpah)
Sumpah mati (sumpah mati)
Sumpah mati aku hanya untukmu

Kata-kata yang indah itu tidak mesti lahir daripada orang yang sedang bahagia. Kadang orang yang berduka merawat dirinya dengan menulis dan mengucapkan kata-kata yang indah. Bilang orang - terapi menulis.

Alhamdulillah. Jumaat hari kesukaan dan selalunya hari yang baik.


Jumaat, 9 November 2018

Lamaran Diterima (Content Writer Dengan Upah Bulanan)


Lamaran Diterima
(Content Writer Dengan Upah Bulanan)
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)


(Rezeki bulanan saya sebagai Content Writer kepada
seorang usahawan besar dalam industri produk kesihatan)


Hari ini sudah 1 Rabiulawal 1440 Hijrah. Bulan ketiga dalam kalender Islam. Jika blogosfera ini diibaratkan sebagai kerbau, sayalah bangau. Seperti kata pantun Melayu...


Orang petani membuat dangau,
Dibiar kosong tidak bekerja;
Berapa tinggi terbang bangau,
Akhirnya di belakang kerbau juga.

Hari ini adalah hari Jumaat, yang merupakan hari paling saya suka dalam seminggu. Sejak zaman kanak-kanak sehingga kini berusia sudah ada anak, saya tetap suka akan hari Jumaat. Malah, sejak memulakan blog ini sembilan tahun (sejak 2009) yang lalu, saya buat satu 'label' (kategori) post di blog ini dengan nama 'Post Khas Hari Jumaat'.

Alhamdulillah hari ini adalah hari yang indah dan baik. Saya mendoakan semoga anda juga menikmati indahnya Jumaat hari ini, Allahumma Amin, Ya Rabb al-Alamin.

Rindu Zaman Blogger

Hari Isnin yang lalu, saya minum petang di sebuah kedai berhampiran pejabat PDC Borneo. Sambil menunggu 'Bun Tunok' (roti bakar) saya scroll dinding Facebook. Nampak iklan baju-t lalu terus saya screenshot. Kata-kata pada baju-t tersebut membuatkan saya teringat Sammy dalam Transformers yang mewarisi kata-kata keramat datuknya Witwicky yang berbunyi, "'no sacrifice no victory'".




Ingatan kepada hero filem Transformers itu membawa ke malam harinya. Saya meluangkan masa membaca post yang pernah saya tulis tentang Sammy dan Transformers di Blog UstazCahaya ini. 

Jujur, sebagai seorang yang pernah mencicipi hasil daripada alam 'Bloghosfera'; saya rindu zaman blogging dulu. Pada waktu itu, menulis di blog menjadi nikmat yang indah. Menulis tanpa mengharap akan dibaca tetapi kerana ikhlasnya menulis waktu itu, ada-ada sahaja rezeki dari aktiviti menulis (biasanya dari upah menulis untuk orang lain).

Caranya, tulis yang baik dan berkualiti di blog peribadi. Orang baca dan orang percayakan kita untuk dia bayar upah menulis apa yang dia perlukan. Itulah yang sekarang trending dipanggil industri 'Ghoswriter', 'Copywriter' atau juga 'Content Writer'.




Content Writer Dengan Upah Bulanan

Alhamdulillah, antara kegembiraan saya pada 1 Rabiulawal 1440 Hijrah ini adalah ketika pagi tadi saya 'on data' telefon bimbit dan mendapat mesej daripada seorang usahawan besar dalam indsutri produk kesihatan di Malaysia. Mesej tersebut yang memaklumkan bahawa beliau dan suami mahu menggunakan perkhidmatan saya sebagai Content Writer mereka. 



Daripada apa yang pernah dibincangkan sebelum ini, tugas saya sebagai Content Writer adalah menyediakan 6 artikel seminggu dengan setiapnya anggaran 400-600 patah perkataan. Tugasan yang saya kira wajar dan logik dengan kemampuan saya. Bayarannya? Insya Allah tugas ini dengan bayaran RMribu.00 sebulan. Alhamdulillah.

Sebagai seorang Penulis Upahan (Ghoswriter) sejak tahun 2009, job seperti ini adalah harapan dan milestone yang telah lama saya impikan. Perasaannya sukar diungkapkan ketika saya mendapat rezeki tetap bulanan daripada kerja menulis.






Setelah beberapa fasa yang saya lalui dalam kehidupan dan menghampiri usia 40-an, saya ingin menikmati kehidupan dengan melakukan apa yang saya lakukan. Syukur Alhamdulillah, sekarang saya hidup dengan melakukan apa yang hati saya senang untuk melakukannya.

Gambar kenangan bersama Ustaz Haji Mohd Isselahuddin, yang menjadi penceramah Kursus Pengenalan Ibadah Umrah yang saya kendalikan di Masjid Al-Abyad, Matang Jaya, Kuching, Sarawak. Gambar pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 yang lalu usai kursus yang ditaja dan dianjurkan oleh PDC Borneo - agensi umrah tempat saya berkhidmat sekarang.

Insya Allah, lengkaplah kini saya hidup dengan profil sebagai seorang guru Al-Quran, penulis serta perunding umrah, wasiat dan takaful. Disamping menuruskan sunnah berniaga dengan menjual buku secara kecil-kecilan.

Ahad, 4 November 2018

Hati Terbang Lagi


Hati Terbang Lagi
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Terbang dengan sayap yang cedera parah bertitisan darah bersama titisan air mata duka. Kau terpaksa kekal terbang tinggi pada tahap yang tidak kesampaian anak-anak panah musuh yang memanah dengan konsisten dari bawah. Seinci kau merendah boleh membawa padah.

Terus bertahan terbang tinggi dengan gayat, takut dan trauma hingga sampai ke tahap yang selamat; kau terbang merendah. Cecah kaki di tanah lalu rebah, termengah-mengah, menengadah dalam lelah. Baring rebah bersama pedih luka yang parah. Titis-titis hujan pula mula turun mencurah-curah menitis ke atas luka-luka yang parah... pedih tak terluah!

Dengan sisa tenaga dan senipis kulit bawang asa yang masih ada. Entah kau mengumam atau berbisik dengan suara yang hampir tiada. Lagu puisi yang kau gubah pada waktu terbang tinggi dengan sayap yang luka parah, kau nyanyikan dengan sumbang suara dan iramanya.


Lagu Puisi: Hati Terbang Lagi

Malam gelap diri tatap lagi lagi,
mahu susun bintang tulis mimpi.
Malam gelap diri tatap bulan lagi,
mahu gumpal awan lukis mimpi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Awan lukis lagi mimpi malam tadi,
pagi sinar suria padam semua.
Bintang tulis lagi mimpi malam tadi,
datang siang hari hilang pergi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Pipi ukir lagi wajah senyum ini,
getar debar rasa pendam semua.
Haiku tulis lagi simpul rasa hati,
lagu nyanyi diri dendang luah rasa.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Hati terbang lagi bawa sarat isi,
terbang tinggi-tinggi jatuh lonjak lagi.
Terbang tinggi lagi kaki jejak bumi,
dahi sujud lagi sembah agung Ilahi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

(C) Norudin Draman UstazCahaya, April 2013.


Khamis, 1 November 2018

Satu 11 (Cinta Ditolak Di Tangga McD)


Satu 11 (Cinta Ditolak Di Tangga McD)
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Status Facebook saya pada 1 November 2016
)

Memori Facebook mengingatkan saya kepada 1 November 2016 dua tahun yang lalu. Pada hari itu bersamaan 1 Safar 1438 Hijrah, saya terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu dan bermalam di Kota Kinabalu. Hari ini 1 November 2018 bersamaan 24 Safar 1440 Hijrah, saya sudah hampir 5 bulan kembali ke Bintulu.

Insya Allah, dalam 30 hari lagi saya akan terbang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah. Perjalanan umrah saya insya Allah pada 1 hingga 10 Disember 2018. Subhanallah wal hamdulillah, tarikh yang sangat indah dan bermakna sekali. 1 Disember ketika terbang ke Mekah adalah tarikh hari lahir ibu saya. 10 Disember ketika terbang dari Mekah kembali ke Malaysia adalah tarikh lahir ibu yang melahirkan anak kesayangan saya QAF binti Norudin.

Dalam kesibukan harian sekarang sebagai perunding umrah, antara keutamaan saya adalah untuk membersihkan diri dan menjadi tetamu Allah dalam keadaan yang terbaik yang saya mampu. Salah satu doa yang saya simpan untuk nanti didoakan di depan Kaabah adalah permohonan semoga Allah mengizinkan saya untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 1440 hijrah (2019). Jika dikira logik, hampir tidak logik dari segi kewangan, namun ini adalah keyakinan paling tinggi saya kepada Allah, Tuhan sekalian Alam yang bagi-Nya tiada yang tidak logik jika Dia perkenan mengizinkan.



Cinta Ditolak Di Tangga McD

Kembali ke dua tahun yang lalu, iaitu pada 1 November 2016. Catatan ini saya simpan di Facebook dengan setting privasi 'Only Me'. Catatan yang saya tulis dua tahun yang lalu.

Hari ini saya musafir bersamaan tarikh 1 Safar 1438 Hijrah. Setiba di KK pagi tadi dari Sandakan, saya ke kuanter AirAsia KKIA kerana masalah tiket. Dek kerana tiket ada masalah maka cancelled sahajalah. Petua pengalaman saya, kiranya perjalanan ada halangan janganlah dipaksa-paksakan. Tukarlah jalan.

Lalu saya beli tiket airport bus yang berharga RM5; bersamaan jimat RM25 dibanding menaiki teksi. Naik airport bus ke Padang Merdeka Kota Kinabalu. Usha bus ekspress ke Sarawak. Paling cepat esok jam 8 pagi KK-Sarawak.

Walaupun dihitung kira dengan belanja hotel untuk malam ni, kira kos sama lebih kurang dengan harga tiket kapal terbang yang cancelled itu. Namun, rasanya macam lama tak fefeeling dalam bus ekpress perjalanan jauh. Sumbat telinga dengan earphone, sambil menikmati keindahan alam semulajadi Sabah-Brunei-Sarawak.

Eh, tajuk tadi pasal cinta yang ditolak di tangga McD, cerita bas pula yang panjang. Ya selepas ke kaunter AirAsia, saya naik ke McD untuk mendapatkan McD breakfast. Di tangga elektrik ternampak sejambang bunga terbuang. Uina, anduk bha. Kasian. Cinta siapalah yang ditolak ini? Atau mungkin pasangan yang bergaduh yang usaha memujuk dengan jambangan bunga tidak berjaya.

Sepanjang meikmati McD breakfast, saya sumbat telinga dengan lagu Faizal Tahir - Sejati. Menurut Faizal dalam iklan radio yang selalu saya dengar ketika memandu kereta, lagu Sejati ini bertemakan cinta manusia dengan Tuhan.

Biar matiku mencuba demi bahagia,
biar nadiku terhenti demi ke syurga.