Rabu, Februari 14, 2018

Kotak Dari Rumah Adiwarna


Kotak Dari Rumah Adiwarna




Alhamdulillah. Siang tadi menerima kotak kiriman dari JS Adiwarna berisi naskhah buku Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama (tahun 2014). Cerpen karya saya berjudul 'Mari Kita Mengira Sayang' adalah antara 44 buah cerpen dalam antologi ini. Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama (tahun 2014). Editor: Mohd Rosdi Mohd Zin Noor Suraya Adnan Sallehudin.

Buku-buku dalam kotak ini adalah nilai royalti karya cerpen saya untuk cetakan kedua buku antologi ini. Bermakna untuk dapat duitnya, buku-buku ini perlu saya jual. (Whatsapp 016-8472303 untuk beli buku ini)

Puisi 'Mari Kita Mengira Sayang' saya tulis pada bulan Februari tahun 2012. Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' ditulis pada bulan Ramadan tahun 2014. Cerpen ini mendapat ilham dari bengkel matematik oleh Che Man yang saya sertai semasa masih bertugas sebagai guru di Negara Brunei Darussalam.

Bayaran royalti adalah pendapatan berterusan dari satu-satu karya atau hasil kerja penulis. Seperti yang saya tulis dalam blog ini pada minggu lalu, saya mesih menerima royalti dari sebuah buku karya saya sehingga enam (6) tahun selepas buku itu terbit. Malah, bagi penulis-penulis besar yang lain, mereka menerima royalti karya-karya mereka saban masa. 

Tidak dipengaruhi oleh angka besar atau kecil; bagi saya, mendapat hasil daripada karya sendiri mempunyai 'rasa' dan 'makna' yang besar. Hasil dari karya kita merupakan nikmat yang tidak terungkap oleh kata-kata.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | Instagram:
#marikitamengirasayang 
#ustazcahaya

Puisi:
Mari Kita Mengira Sayang
Satu, Sayang.

Kita hidup di dunia ini hanya satu kali,
namun bukan satu warna saja yang mewarnai dunia ini,
lihat sayang dunia ini dicorakkan oleh berjuta-juta warna warni,
lalu jutaan warna warni itu menjadikan indah dunia yang kita diami.

Dua, Sayang.

Tuhan menjadikan makhluk dan kejadian dua berpasang-pasangan,
lelaki wanita, susah senang, lemah kuat, mentari dan bulan,
maka sayang kita mesti sedia selalu menghadapi dua kemungkinan,
usaha dengan tidak lupa untuk tetap reda pada apa yang Tuhan suratkan.

Tiga, Sayang.

Dalam hidup ini tiga keadaan akan kita rasa dan hadapi,
dua keadaan itu akan silih berganti,
itulah sihat dan sakit yang bergilir datang dan pergi,
satu keadaan hanya akan kita hadapi sekali sayang, iaitu mati.

Empat, Sayang.

Andai hidup ini satu bentuk segi empat tepat,
kita mampu menukarnya menjadi bentuk piramid atau bulat,
selagi hidup dunia dapat kita ubah sayang tapi tidak nanti di akhirat,
bermujahadah kita kerana kita tidak akan kekal baik seperti malaikat
juga tidak kekal jahat seperti Iblis yang dilaknat.

Lima, Sayang.

Sebelah tangan kita ada lima jari,
ingat sayang pesan Baginda Nabi,
rebut lima sebelum lima itu pergi dan berganti,
moga kita sedar selalu tiada yang kekal dalam hidup ini.

Akhirnya, Sayang.

Untuk mengira 1+2+3+4+5=15, kita perlu ilmu kira-kira sayang.
Untuk menjadikan 1+2+3+4+5=150, kita perlu fikiran kreatif sayang.
Untuk membuat 1+2+3+4+5=(ada warna, rasa dan bau), kita perlu jiwa yang berseni sayang.

Sayang, Sayang.

Satu, dua, tiga, empat, lima,
baru satu hingga lima yang kita hitung dan kira.

Norudin Draman (UstazCahaya) 
Sabtu, 19 Februari 2012, 22:36:00

Tiada ulasan:

Catat Ulasan