Ahad, Februari 18, 2018

Bagaimana Memulakan Sebuah Blog? (Siri 1)


Bagaimana Memulakan Sebuah Blog?
(Siri 1)




Awal pagi tadi sambil saya dan isteri 'qiyamullail' bersama anak sulung kami #qafbintinorudin yang baru berusia sembilan hari, saya membaca blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini sehingga ke post pertama yang diterbitkan di blog ini. Mengimbau kembali diri saya ke suatu fasa dalam kehidupan saya yang tidak boleh saya lupa kepadanya. Fasa di mana saya gigih belajar tentang blog, keusahawanan di Ebay juga Lelong dan penulisan online.

Imbauan memori kenangan ketika membaca blog ini awal pagi tadi, menyebabkan malam ini terpaut hati saya untuk menulis bagaimana saya merancang permulaan blog ini pada tahun 2009. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini ada manfaatnya untuk kalian yang mahu memulakan sebuah blog.


Ketika memulakan sebuah blog, ada lima (5) soalan yang perlu kita jawab, iaitu:

1) Apakah jenis blog yang hendak ditulis?

2) Pilihan blog engine yang hendak digunakan?

3) Senarai topik-topik yang hendak ditulis?

4) Apakah komponen, teknologi dan kemudahan yang hendak dimasukkan ke dalam blog?

5) Siapakah golongan sasar pembaca blog?


1) Apakah jenis blog yang hendak ditulis?

Ada pelbagai jenis blog di alam bloghosfera ini. Ada blog peribadi tempat menulis perkara-perkara berkaitan diri sendiri dan respon kepada isu semasa. Ada blog novel yang popular satu masa dahulu yang menjadi medium novelis menyiarkan novel mereka secara bersiri. Selain itu ada blog perniagaan, blog politik, blog video (vlog), blog berita (yang popular pada masa kini), kedai blog (blogshop) dan banyak lagi.

Sejak dari dahulu hingga kini, saya menetapkan 'Jurnal Online UstazCahaya' ini sebagai blog peribadi. Di blog ini saya menulis tentang diri saya sendiri sebagai seorang manusia, anak, suami, ayah, guru agama, penulis, pendakwah dan usahawan.

Terdapat banyak peri pentingnya menentukan jenis blog. Dengan menetapkan jenis blog membantu kita merancang kandungan blog, mereka bentuk blog, melancarkan pengurusan blog dan lain sebagainya.

2) Pilihan blog engine yang hendak digunakan?

Ibaratnya jika blog adalah sebuah kereta, blog engine adalah jenama kereta seperti BMW, Merchedez, Toyota, Honda, Suzuki, Proton, Perodua dan lain sebagainya. Masih sama seperti ibarat sebuah kereta, blog engine juga dipengaruhi oleh status dan tahap ekonomi kita sebagai seorang blogger.

Blog engine adalah tapak di mana kita 'meletakkan' blog kita di alam bloghosfera ini untuk dibaca oleh orang lain. Ketika memulakan blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini, saya belajar tiga blog engine utama di alam internet, iaitu:

1. Blogger (Blogspot), milik Google

2. Wordpress (tempat saya belajar cpanel)

3. Self-hosting (guna Photoshop)

Sejak bermula hingga kini, blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini setia bersiaran di Blogger.com milik Google. Blog engine Blogger.com ini adalah blog engine yang boleh dikatakan selamat, mudah diurus dan mudah mendapat tempat di Google.

Menggunakan blog engine Wordpress dan apatahlagi blog self-hosting, memerlukan ilmu dan kemahiran yang lebih daripada menggunakan Blogger.com. Ditambah lagi kita perlu berbelanja untuk banyak keperluan bagi menyiarkan blog kita di Wordpress dan self-hosting.

Selain Wordpress dan self-hosted blog yang selalu diserang penggodam (hackers), band-with blog kita juga adalah masalah. Di mana, jika blog kita dibaca oleh ramai orang kita memerlukan size bandwith yang lebih besar. Kelebihan Blogger.com adalah jaminan keselamatan dan kesediaan bandwith untuk menerima pembaca yang ramai pada satu-satu masa.

(Insya Allah, bersambung di Siri 2)

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan