Sabtu, Januari 06, 2018

Tujuh (7) Tahun: Dari 2011 ke 2018


Tujuh (7) Tahun: Dari 2011 ke 2018



Bulan Februari dalam tahun 2018 ini merupakan bulan yang mendebarkan untuk saya. Februari 2018, bulan yang membuatkan kadang-kadang saya risau dan galau tetapi sering membuat semangat saya membara dan menyala; bulan yang saya mengerahkan seluruh fikiran, perasaan dan jiwa raga saya kepadanya sejak Julai 2017. Bulan Februari 2018, detik yang saya tuju dengan penuh harap, doa dan usaha.

Bermula Julai 2017

Bermula bulan Syawal iaitu Julai 2017, saya mulakan Kelas Faham Solat di surau Saidina Abu Bakar As-Siddik, Taman Pohing, Batu Sapi, Sandakan, Sabah. Kelas yang merupakan kuliah maghrib mingguan ini saya niatkan sebagai sedekah untuk menyambut Februari 2018. Kelas yang saya jalankan sepenuh komitmen dan sediakan salinan Nota Faham Solat untuk para jamaah yang menyertainya; dengan tanpa mengambil apa-apa bayaran daripada pihak surau. Seikhlasnya, Kelas Faham Solat ini adalah sedekah saya dalam bentuk tenaga, ilmu, waktu dan wang ringgit. Semuanya untuk Februari 2018 dengan kepercayaan sepenuhnya kepada 'keajaiban sedekah'.

Pada bulan Julai 2017 juga saya menyiapkan versi pertama set bahan bantu mengajar Al-Quran untuk kanak-kanak, iaitu set 'Kad Akviti Nama Huruf Hijaiyah' (KANHH). Set ini sebenarnya saya sediakan untuk 'kehadiran yang dinanti' pada bulan Februari 2018. Alang-alang sudah disediakan, saya lancarkan set 'Kad Akviti Nama Huruf Hijaiyah' (KANHH) untuk dipromosikan kepada masyarakat sejak Ogos 2018.

Kemudian, melihat keperluan kepada satu lagi kelas untuk surau Taman Pohing, saya mulakan pula Kelas Tajwid seminggu sekali. Juga sama seperti Kelas Faham Solat; kelas tajwid yang saya jalankan sepenuh komitmen dan sediakan salinan Nota Pandai Al-Quran untuk para jamaah yang menyertainya; dengan tanpa mengambil apa-apa bayaran daripada pihak surau. Seikhlasnya, Kelas Pandai Al-Qutan ini adalah sedekah saya dalam bentuk tenaga, ilmu, waktu dan wang ringgit. Semuanya untuk Februari 2018 dengan kepercayaan sepenuhnya kepada 'keajaiban sedekah'.


Ada Apa Dengan Februari 2018?

Insya Allah, ada dua kelahiran yang saya tunggu penuh debar pada bulan Februari tahun 2018 ini. Penantian yang saya melangkah kepadanya dengan penuh harap, doa dan usaha sejak Julai 2017. 

Pertama, insya Allah bulan Februari 2018 adalah bulan kelahiran cahaya mata kedua saya dan puan isteri terchenta. Kandungan pertama tahun 2016 dahulu keguguran ketika empat bulan kandungan. Bermakna, Februari ini akan lahir anak pertama kami suami isteri namun juga merupakan kandungan kedua semenjak pernikahan kami.

Sedikit tentang cahaya mata yang dinanti penuh debar di hati ini. Nama yang indah untuknya sudah saya sediakan. Nama yang membuat saya susah melelapkan mata hampir seminggu untuk memikirkannya. Al-hasilnya, Allah mengilhamkan saya nama dari huruf QAF (قاف ). Nama penuhnya, nanti diumumkan ketika tiba saat waktunya.

Kedua, pada bulan Februari 2018 nanti sebuah buku baharu dari saya sebagai penulis bernama Norudin Draman UstazCahaya bakal terbit. Insya Allah, yang bakal disusuli oleh buku-buku seterusnya yang membawa nama Norudin Draman UstazCahaya sebagai penulis buku sejak tahun 2010.

 
Dari Tahun 2011 ke Tahun 2018

Setepatnya, insya Allah buku baharu saya bakal terbit pada 11 Februari 2018. Cantik nombornya 11.02.2018 kerana dapat disusun menjadi 2011-2018. Tujuh tahun. Tujuh tahun kehidupan yang membawa diri saya mengembara dari Sarawak ke Negara Brunei Darussalam kemudian ke Sabah.

Alhamdulillah. Segala puji syukur kepada Allah Tuhan sekalian alam. Tujuh tahun kembara yang menempa diri saya. Tujuh tahun tarbiah dan hijrah bersama antara bekal yang saya bawa adalah diri sebagai 'ustaz' dan 'guru Al-Quran'. Tujuh tahun berhijrah dengan dikenali sebagai 'ustaz' dan 'guru Al-Quran' itulah yang diadun di dalam buku saya yang bakal terbit nanti.

Alhamdulillah. Allah Tuhan Yang Maha Bijaksana Yang Maha Suci. Dalam tempoh tujuh berhijrah dari Sarawak ke Brunei, Allah mempertemukan saya dengan isteri yang diciptakan Allah untuk saya. Dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, dua kali sudah isteri mengandung dan segala puji syukur kandungan kedua ini baik dan aman.


Catatan ini siap ditulis pada jam 22:46 (Sabtu, 6 Januari 2018). Ditaip di dalam telefon bimbit menggunakan aplikasi Note Everything. Catatan yang ditulis dengan kepercayaan bahawa seorang penulis wajib menulis dan azam bahawa tahun 2018 adalah tahun Norudin Draman UstazCahaya kembali ke alam menulis dengan diri seorang penulis.

Ditutup catatan ini dengan limpah tulus doa ke hadrat Allah SWT, semoga Dia berkenan melimpahkan rahmatNYA dan menetapkan dua kelahiran yang saya nanti-nanti pada Februari 2018 nanti; tetap menjadi anugerah dan rezeki dari-Nya untuk saya, hamba yang penuh berharap ini. Allahumma. Amin Amin Amin. Amin Ya Rabb al-Alamin.

Norudin Draman UstazCahaya

22:46, Sabtu; 19 Rabiulakhir 1939/ 6 Januari 2018.

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah.. smg Allah permudahkan segalanya buat ust dan isteri.. kami pun x sabar mnanti kedua2 kelahiran tsebut..

    BalasPadam